Saya masih ingat analoginya, “lampu
isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita masih tidak
bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi sebaik
sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan
memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu…”
Dia menyambung, “maka begitulah kita
harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan Allah ampunkan kita jika kita
berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi kecacatan dan
kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga Allah
memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa
yang berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat
seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan
keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah, Tuhan akan
ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat.”
Benarlah, seorang dikira sampai ke tahap
ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah
sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak
perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu.
Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan belajar tepat
seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga
ke liang lahad.
Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah
digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu
Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun
ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri
kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu,
dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli
ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang
hina dari kelas bawahan!
Bergaullah dengan ahli ilmu yang sebenar,
kita akan terasa tenang dengan kerendahan hatinya. Tutur kata dan
tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi penghormatan yang
diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula penghormatannya
kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan dengan
kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini semakin ramai orang yang mempunyai
kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan berkata-kata yang sangat
memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang mempunyai ketinggian
budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan kini
kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut.
Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang
diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa Tok guru dahulu, hidupnya
sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan wibawa. Orang sanggup
mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan sekadar ambil
hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya, ulama-ulama dahulu bukan hanya
mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama mereka mewarisi ‘hati’
para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika mereka berbicara,
pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh
pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al Quran.
Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al
Hadis… Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan
fizikalnya.
Sering kali mereka menjawab ‘wallahuaklam’
pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti manusia
serba tahu. Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai murid yang
banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya lebih
mengetahui. Bukan mudah menjadi ‘pendengar’ ketika selalu berperanan
sebagai ‘penutur’ tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama silam
sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan
memandai-mandai.
Sesungguhnya, ular yang menyusur akar
tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya peminat, tetapi
pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam diri
menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi
sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.
Guru yang mengajar kitab kuning, yang
saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki motosikal… tetapi
sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di situ ada senyuman!
No comments:
Post a Comment